Sejarah Air Zamzam
Friday, 10 July 2015
Sudut Hukum | Zamzam adalah sebuah perigi Nabi Isma‘il ‘alaihissalam. Menurut para ahli sejarah, kisah air zamzam itu bermula dari peristiwa yang dialami oleh Siti Hajar dan anaknya Isma‘il ‘alaihissalam. Mereka berdua ditinggalkan oleh suaminya Ibrahim ‘alaihissalam di suatu tempat yang sepi dan tandus. Di tempat itu tidak ada air untuk diminum, tidak ada makanan untuk dimakan dan tidak ada orang untuk meminta pertolongan.
Setelah bekalan mereka habis, Isma‘il pun menangis kerana lapar dan dahaga. Melihat keadaan anaknya sedemikian, Siti Hajar pun pergi mencari air. Dia berjalan menuju ke Bukit Safa dan Marwah kira-kira lima ratus meter jarak antara kedua bukit tersebut, dengan harapan menemui kafilah pedagang yang membawa air. Setelah berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit itu, namun Siti Hajar tidak menemui sesiapa pun. BerkataIbnu ‘Abbas: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Maka itulah sa‘ie manusia (orang haji dan umrah) antara keduanya (Safa dan Marwah)." Apabila Siti Hajar naik ke Bukit Marwah, dia terdengar suatu suara lalu dia berkata di dalam hati: "Sesungguhnya aku mendengarmu, jika engkau dapat memberi pertolongan, maka tolonglah kami." Tiba-tiba dia ternampak Malaikat di samping anaknya Isma‘il. Malaikat itu pun menggali tanah dengan tumit atau sayapnya sehingga terpancutlah air iaitu air zamzam.
Setelah beberapa tahun berlalu, Nabi Ibrahim ‘alaihissalam datang menemui mereka berdua. Pada waktu inilah, beliau mendirikan rumah suci (Ka‘bah). Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
إِنَّ أَوَّلَ بَيۡتٍ۬ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكً۬ا وَهُدً۬ى لِّلۡعَـٰلَمِينَ (٩٦) فِيهِ ءَايَـٰتُۢ بَيِّنَـٰتٌ۬ مَّقَامُ إِبۡرَٲهِيمَۖ وَمَن دَخَلَهُ ۥ كَانَ ءَامِنً۬اۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلاً۬ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Ketika Makkah didiami oleh kaum Jurhum (kabilah daripada Syam) dengan kemajuan dan kemewahan hidup mereka sehingga tidak mengindahkan kehormatan Ka‘bah tersebut. Menurut ahli sejarah, kaum Jurhum memakan harta Ka‘bah dan melakukan perkara dosa besar sehingga perigi zamzam itu kering kerontang dan lama kelamaan ia tertimbun dan tidak diketahui lagi kedudukannya. Setelah pemerintahan daerah itu dipegang oleh Abdul Muthallib (nenek Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Suatu ketika beliau telah bermimpi mendapat petunjuk untuk menggali perigi zamzam itu, lalu dia mengarahkan orang lain untuk menggali perigi tersebut maka posisi perigi itu pun ditemukan.